by Oh! Semput
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggesa tindakan pendakwaan tegas diambil terhadap pemandu yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut sehingga meragut lima nyawa dalam kejadian tragis di Johor semalam.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan dipercayai berpunca daripada pemanduan melulu serta berbahaya di jalan raya awam.

Sehubungan itu, Anthony berharap pihak polis dapat mempercepatkan siasatan supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Menurutnya, tindakan undang-undang yang setimpal perlu dikenakan terhadap individu yang menyebabkan kemalangan tersebut bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan demi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Terdahulu, empat sekeluarga disahkan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Renggam–Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, isterinya Nor Azlina Abd Latif, 33, ibu mentua mereka Semek Mat Soh, 73, serta anak saudara pasangan itu, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Kejadian tersebut turut mengorbankan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam perlumbaan di jalan raya, manakala seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
: Malaysia Gazette (Mohd Zaini Samsu Hadi)