by Oh! Semput
KUANTAN: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang yang ‘menyerang’ Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim disifatkan sebagai mengecewakan dan tidak mencerminkan semangat solidariti dalam parti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota, Ts. Ahmad Saifullah Razali berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka terhadap pimpinan sayap parti hanya memberi ruang kepada musuh politik menyerang kepimpinan PKR.
Chun Kuang dalam kenyataannya pada 18 Mei lepas menegur kerajaan serta Muhammad Kamil berkenaan isu penerimaan dana asing Mandiri dan menyarankan agar Ketua AMK memahami realiti perjuangan masyarakat sivil dan gerakan reformasi yang pernah dilalui sebelum ini.
Menurut Ahmad Saifullah, Chun Kuang sepatutnya mempertahankan pendirian parti dan membantu memperkukuh perpaduan dalaman.
“Sebagai seorang ADUN yang menang atas tiket PKR serta memegang jawatan Naib Ketua Cabang Indera Mahkota, beliau sepatutnya mempertahankan pendirian parti dan memperkukuh perpaduan dalaman bukannya mengeluarkan kenyataan yang memberi peluru kepada musuh politik untuk menyerang kepimpinan PKR.
“Kenyataan beliau jelas lebih cenderung mempertahankan parti luar sehingga sanggup mempertikai pandangan pimpinan sayap parti sendiri secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Saifullah berkata, sikap sedemikian hanya menimbulkan persepsi terdapat pihak yang lebih mengutamakan percaturan politik peribadi berbanding kestabilan dan imej parti di mata rakyat.
Beliau turut mempertahankan pendirian Kamil Munim berhubung isu dana asing dan integriti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sambil menegaskan bahawa perkara itu melibatkan persepsi awam serta kepentingan ketelusan politik negara.
“Dalam soal ini, semua pihak sepatutnya bersikap matang dan tidak bertindak defensif hanya kerana melibatkan tokoh tertentu,” katanya.
Tambah beliau, PKR lahir daripada semangat reformasi dan disiplin perjuangan, justeru sebarang kritikan dalaman seharusnya disalurkan menerusi platform parti dan bukannya melalui kenyataan terbuka yang boleh mencalarkan hubungan sesama pimpinan serta akar umbi.
Beliau berkata, parti ketika ini memerlukan kesetiaan kepada perjuangan bersama dan bukannya kecenderungan bermain politik kelompok atau mempertahankan individu tertentu secara berlebihan.
“Jika Chun Kuang benar-benar mahu mempertahankan idealisme reformasi, beliau sepatutnya membantu memperkukuh parti dan menjalankan tanggungjawab beliau sebagai pimpinan parti di Cabang Indera Mahkota.
“Bukannya dilihat menjadi ‘duri dalam daging’ yang mengeruhkan keadaan ketika parti sedang berdepan cabaran politik yang besar,” katanya. #MalaysiaGazette