by Oh! Semput
Cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0.

Foto: Sinar Harian
Pemuda berusia 23 tahun itu berkata, penceramah jemputan pada program tersebut merupakan seorang senator yang turut diperkenalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti.
Nik Alif Aiman mendakwa tamparan itu tidak menyebabkan kecederaan fizikal, namun cukup kuat sehingga menyebabkan kepala dan mukanya teralih ke sebelah kanan akibat impak berkenaan.

Foto arkib: IG Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi
Dia berkata, insiden tersebut berlaku di hadapan kira-kira 10 hingga 15 individu termasuk beberapa pegawai kanan universiti serta rakan-rakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berada di lokasi.
Dia turut menyifatkan tindakan itu sebagai penghinaan terhadap keluarganya yang mempunyai hubungan dengan Nik Abdul Aziz, tokoh agama dan pemimpin yang dihormati ramai.

Foto arkib: Kosmo! Online
Menurutnya, selepas kejadian tersebut, senator terbabit didakwa mengajaknya makan bersama, namun pelawaan itu ditolak sebagai tanda protes terhadap tindakan yang berlaku.
Susulan insiden itu, dia membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, bapanya Abdul Ariffahmi Abd Rahman memaklumkan laporan polis berhubung kejadian tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.
: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)